Monday, December 19, 2022

XPDC Bukit Meriam...Menyelusuri Sejarah Merungkai Misteri

Bukit Meriam dilihat dari kaki bukit

AlhamduLillah ... akhirnya dapat juga mendaki Bukit Meriam melihat sisa-sisa yang dahulunya sebuah kota lama yang dibina dan diduduki pada tahun 840an masihi oleh Raja Kedah 5; Seri Paduka Maharaja Kerma mengikut versi ASNK atau Raja Kedah ke 6; Phra Ong Mahaputisat, ikut versi HMM.

Memang tenang dan mendamaikan semasa berada di puncak bukit setinggi 105 meter dari aras laut ini. 

Boleh lihat panorama 360 darjah sekeliling Kuala Muda, Yan, Gunung Jerai, Merbok bahkan bangunan Komtar kat Penang pun hangpa boleh usha tengok dengan jelas...

Dah tu macamana dan celah mana ada juga puak-puak dok putaq sejarah kata omputih Francis Light yang buka Penang?

Awat masyarakat Kedah Tua dulu langsung tak pernah pi mendarat dan berburu di Pulau Pinang kaa? 

Tu diaaa Penang ...clear dari puncak Bukit Meriam di Kuala Muda

Banyak rahsia dan misteri tersembunyi di bukit ini...Hanya orang tertentu yang mengetahuinya, namun biarlah ia suci terpelihara sehingga pihak kerajaan melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti dengan restu dari Seri Paduka Tuanku Sultan Kedah serta kerajaan Negeri yang berhak dan mempunyai authoriti menjalankan proses ekskavasi di tapak arkeologi di sini.

Puncak yag mendamaikan di beikas tapak kota dan istana silam 

Jangan dok cuba nak korek ambil barang purba sesuka hati ...silap-silap boleh kena charge di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005...naya Pak Karim!!!

Namun setakat nak pi melawat dan buat kajian ilmiah tak de masalah, yang penting tahu adab bila masuk kampung orang. 

Bagi salam dulu dan jaga adab melawat orang dan tempat orang. 

Jaga kebersihan, jaga mulut dan jangan dok cempera masa mendaki dan duduk dalam hutan di situ.


Kesan gondolan akibat aktiviti kuari tahun 2000an memusnahkan khazanah sejarah Bukit Meriam, kini tiada lagi aktiviti kuari

Insya Allah, kajian ilmiah mengenai Bukit Meriam ini akan terbit dalam suku pertama bulan Mac 2023 nanti. 

Dah terbit jurnal yang ada ISBN dan copyright baru boleh sembang panjang...

 


  

Tuesday, December 6, 2022

Syeikh Abdullah al Qumairi: Pendakwah Khalifah Abbasiyah Yang Mengislamkan Kedah


Kedah merupakan negeri pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang rajanya menerima Islam sebagai agama rasmi.

Ramai berpendapat Islam sampai ke Kedah seawal pertengahan kurun ke 6 Masihi. Buktinya bila ada para pedagang Islam datang berdagang di Kedah dan sebar agama Islam di negeri tersebut.

Tapi perkembangan Islam tidak semulus yang disangkakan kerana Raja Kedah masih lagi teguh menganut ajaran Buddha Mahayana. Rakyat yang tertakluk sebagai hamba raja tidak boleh sesuka hati menganut agama selain agama anutan Raja. 

Rakyat boleh jatuh derhaka dan hukumannya amat berat sekali.

Abad ke 8 dan 9 masihi pun dah ramai pedagang Arab di Kedah berniaga dan bebas mengamal Islam tetapi tak boleh sesuka hati berdakwah pada rakyat Tuanku Raja Kedah.

Hanya pada tahun 1136 Kedah menjadi negara Islam setelah Rajanya memeluk Islam.

Ceritanya terkait pada tahun 1135 masihi, Khalifah Abbasiyah ke 31; Abu Abdullah Muhammad bin Mustazir Billah Ahmad al Muqtafi Lil Amrillah (1135-1160) atau dikenali sebagai Khalifah Muhammad bin Ahmad telah mendapat restu dan menitahkan Gurunya; Syeikh Abdul Qadir al Jailani agar menyusun gerakan dakwah ke beberapa benua antaranya Afrika, Eropah, India dan Nusantara.


Untuk misi ke Nusantara, Syeikh Abdul Qadir Jailani telah menghantar anak muridnya; Syeikh Abdullah bin Ahmad bin Jaafar al Qumairi dari wilayah Shahir bersama dengan 11 orang rakan-rakannya melalui pelabuhan Aden di Yaman ke Kedah sebagai utusan dakwah, pembawa misi diplomatik serta perdagangan antara Kalah dan Abbasiyah pada 1136 masihi.  

Utusan ini begitu penting memandangkan empayar Abbasiyah ketika itu sedang menghadapi ancaman luar dari tentera salib, kerajaan Syiah Fatimiah dan pemberontakan Syiah Qaramitah serta golongan Khawarij di dalam negara. 

Foto Hiasan

Abbasiyah amat memerlukan bahan-bahan mentah seperti rempah, besi, tekstil, hasil hutan dan sebagainya bahkan jika boleh sekutu yang membekalkan tentera di masa hadapan dalam menghadapi ancaman-ancaman luar.

Rombongan Syeikh Abdullah singgah di pelabuhan Lembah Bujang dan beruzlah di puncak Gunung Jerai sebelum memulakan dakwah Islam kepada Raja Kedah; Phra Ong Mahawangsa ikut versi Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) atau Raja Derbar Raja II ikut versi At Tarikh Salasilah Negeri Kedah (ASNK). 

Namun para utusan dakwah tersebut menghadapi tentangan hebat dari ahli sihir, para pendekar dan Raja sendiri di Istana kota Bukit Meriam.

Ini kerana sihir yang diamalkan oleh Raja dan para pembesar begitu ampuh hasil dari amalan ajaran Tantrayana. 

Kedah ketika ini masih merupakan sebuah negeri naungan kepada empayar Dhamasraya dari Sumatera sejak tahun 1088 masihi setelah kehancuran empayar Srivijaya pada tahun 1025 masihi akibat serangan angkatan Chola dari India. 

Dhamasraya adalah sebuah empayar yang teguh mengamalkan ajaran mistik Tantrayana iaitu ajaran yang  mengabungkan unsur Buddha Mahayana serta Hindu Shiva-Visnu.

Dewa Bhairawa yang dipuja pengamal Tantrayana untuk memperolehi kuasa magis

Namun akhirnya sihir serta perlawanan tersebut berjaya dikalahkan dan Raja memeluk Islam bersama para kerabat, bangsawan dan raja. Seluruh berhala dimusnahkan.

Setelah itu nama baginda ditukar kepada Sultan Muzaffar Shah dan negeri Kedah digelar Kedah Darul Aman. Kedah telah melaksanakan ajaran Islam dengan bimbingan para ulama yang dikirimkan oleh kerajaan Abbasiyah mulai tahun 1136 masihi diikuti dengan kiriman para pendakwah ke Lamuri atau Acheh Tua.


Syeikh Abdullah al Qumairi telah meninggal dunia di Gunung Jerai sewaktu pembinaan menara masjid di puncak tersebut. 

Jenazahnya dikebumikan di kawasan tersebut dan pernah dilawati oleh Gurunya; Syeikh Abdul Qadir pada tahun 1165 masihi. 

Nak cerita lanjut, hangpa boleh baca kajian ilmiah ini yang telah diperakui dalam persidangan antarabangsa;

https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpg/article/view/12544/6262

Disclaimer: Jurnal ini adalah sebuah sumbangan amal jariah dan wakaf ke arah merakyatkan pembacaan dan pengetahuan mengenai sejarah bangsa Melayu selain sebagai sebuah jihad ilmu ke arah merealisasikan Silat Cekak sebagai Silat Akademik. 

Maka dalam adat berilmu berilah citation / kredit kepada Penulis dan sumber-sumber penulisan lain sekiranya ingin ilmu yang diperolehi hasil dari penulisan dan pembacaan ini diberkati oleh Allah swt.