Thursday, November 18, 2021

Catatan Awal Bermulanya Sistem Beraja di Kedah

Sistem Beraja di Negeri Kedah merupakan antara yang tertua di Asia Tenggara. Ia wujud dalam dua zaman iaitu zaman sebelum Islam dan selepas pengislaman.

Sistem perajaan Kedah dipercayai wujud sejak tahun 630 masihi setelah Raja Merong Mahawangsa (versi Hikayat Merong Mahawangsa - HMM) atau Raja Derbar Raja I (versi Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah - ASNK) ditabal sebagai raja pertama Negeri Kedah.    


Peperangan dua empayar dunia mempunyai kaitan rapat dengan sistem beraja di Kedah 

Sebelum adanya sistem beraja ini Kedah diperintah oleh sebuah sistem perwakilan yang mendapat mandat pemerintahan dari penguasa atau raja dari empayar-empayar lain. Antaranya dari Empayar Hindu Funan yang wujud sejak tahun 2 masihi hingga akhirnya kerajaan tersebut ditawan oleh Dinasti Chenla pada tahun 628 masihi.

Tahun yang sama juga empayar Parsi telah dikalahkan oleh Rom Byzantine dan berlaku pemberontakan dalam empayar Parsi Sasanid. Ini diceritakan di dalam Al Quran surah Al Rom ayat 1-6.

Berbalik pada cerita Funan sebelum kejatuhannya Kedah diperintah oleh dua orang ketua suku bertaraf Penghulu iaitu Tan Derma Dewa yang menguasai wilayah Barat semenanjung dan Tan Perkasa yang menguasai wilayah Timur semenanjung. 

Di sebelah barat, wilayah jajahan Tan Derma Dewa terbentang hingga ke perbatasan Tenaserim dan Arakan di utara dan hingga ke Ujung Karang di selatan, makna kata beliau menguasai Lautan Kedah atau Selat Melaka kini.

Manakala wilayah jajahan Tan Perkasa di sebelah timur merangkumi Segenting Kra, Ligor, Patani hingga ke Pahang dan Laut Melayu atau Laut Campa atau kini dikenali sebagai Laut China Selatan.


Kedua-dua pemimpin ini digelar kaum Gergasi dan diperlambangkan dengan Naga-Naga kerana kekuatan serta penampilan simbol-simbol mereka. 

Naga ini juga digelar Bujangga yang merupakan kelibat ular-ular besar yang mendiami lembah-lembah di Kedah yang mewujudkan kata Lembah Bujang.   

Kejatuhan empayar Funan menyebabkan berlakunya perselisihan di antara kedua-dua pemimpin suku ini. 

Dalam masa yang sama berlakunya keganasan lanun-lanun Sakai Laut di pantai Barat sejak 620 masihi seperti yang tertulis dalam Tarekh atau Salasilah Negeri Kedah (TSNK).

TSNK menyebut Merong Mahawangsa berasal dari Rom telah berjaya menumpaskan para lanun Sakai Laut tersebut menyebabkan kepimpinan serta keagungan baginda diiktiraf oleh ketua-ketua suku pimpinan Tan Derma Dewa dan Tan Perkasa...    

Versi HMM menyatakan Merong Mahawangsa belayar dari wilayah Rom menuju ke Kedah setelah berhadapan dengan keganasan Garuda semasa dalam misi membawa anak Raja Rom untuk berkahwin dengan anak Raja China. 

Siapakah yang dimaksudkan Garuda ini. Siapa pula anak Raja Rom dan Raja China??? Nanti diulas dalam posting yang lain. 


Dalam ASNK diceritakan Raja Derbar Raja lari dari wilayah Gomrun, Parsi setelah diserang oleh angkatan Maharaja Parsi. Raja Derbar Raja akhirnya menuju ke Kedah bersama para pengikutnya beserta angkatan naubat hingga menimbulkan kegaguman ketua-ketua suku di Kedah pimpinan Tan Derma Dewa dan Tan Perkasa. 

Tarikh Patani (TP) pula menyebut Raja Mahabangsa merupakan pemerintah pertama yang menjadi raja di Kedah...

Nak tahu cerita lanjut berdasarkan fakta ilmiah???...Hangpa boleh rujuk kajian ini;


https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpg/article/view/12544/6262 

Disclaimer: Jurnal ini adalah sebuah sumbangan amal jariah dan wakaf ke arah merakyatkan pembacaan dan pengetahuan mengenai sejarah bangsa Melayu selain sebagai sebuah jihad ilmu ke arah merealisasikan Silat Cekak sebagai Silat Akademik. 

Maka dalam adat berilmu berilah citation / kredit kepada Penulis dan sumber-sumber penulisan lain sekiranya ingin ilmu yang diperolehi hasil dari penulisan dan pembacaan ini diberkati oleh Allah swt.